Kampung Petai Bubus adalah sebuah perkampungan yang terletak di dalam Mukim Manir yang terletak di daerah Kuala Terengganu. Dalam persempadanan bagi pilihanraya, kampung ini berada di dalam kawasan Dun Teluk Pasu dan juga Parlimen Kuala Nerus.
Kampung Petai Bubus yang terletak di sepanjang Sungai Kuala Nerus merupakan antara kampung terawal yang diterokai di kawasan ini. Dengan kedudukannya yang bersempadankan Sungai Nerus sendiri di bahagian utaranya, Kampung Paya Datu di sebelah selatannya.Manakala di sebelah barat, ianya bersempadankan Kampung Tanjung Sabtu yang dispisahkan oleh sebuah anak sungai yang mengalir diantar dua kampung ini. Pola penempatan penduduk di kampung ini adalah berselerak dan secara kebetulannya, ia membentuk unjuran seperti bentuk huruf L.
Sebahagian tanah di kampung ini adalah daripada tanah sawah dan tanah kebun yang suatu ketika dahulunya menjadi salah satu tempat bagi aktiviti atau pekerjaan utama di sini. Tetapi iannya tidak lagi diusahakan secara meluas pada masa kini dan kebanyakkan tanah tersebut tidak lagi diusahakan.
SEJARAH
Memandangkan namanya yang agak unik berbanding kampung-kampung lain di dalam kawasan Teluk Pasu ini, ramai orang telah bertanya dari mana datangnya nama kampung ini. Mungkin ramai yang mengetahui perkataan 'petai' iaitu sejenis tumbuhan eksotik yang sangat popular khususnya di kalangan penduduk setempat dan juga di negeri Terengganu, amnya. Akan tetapi, perkataan 'Bubus' telah mendatangkan seribu satu pertanyaan memandangkan tiada perkataan seumpamanya dipertuturkan pada masa kini.
Menurut cerita yang diperturunkan oleh peneroka-peneroka awal kampung ini, nama Petai Bubus dikatakan diambil daripada sepohon pokok petai yang pernah tumbuh di tepi alur di kampung ini. Dikatakan pokok itu tidak bertahan lama dan daunnya mulai gugur ataupun pada masa itu disebut pupus atau bubus. Maka, dari kejadian itu, lahirlah nama Kampung Petai Bubus.